LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA

'Kecemerlangan LTAT, Keselesaan Warga Tentera'

SKIM PENGELUARAN CARUMAN UNTUK PERUMAHAN

1. Apakah syarat-syarat anda boleh membuat pengeluaran untuk tujuan membeli rumah?

Pada tarikh permohonan, pencarum:

  • telah mencapai umur 22 tahun; dan 
  • telah mencarum tidak kurang daripada 5 tahun kepada LTAT; dan 
  • bukan seorang pemilik berdaftar apa-apa harta tak alih (rumah/tanah) iaitu pengeluaran caruman ini adalah untuk tujuan membeli harta tak alih yang pertama sahaja; dan 
  • telah membuat suatu perjanjian jual beli yang sah yang pada pendapat LTAT adalah suatu bukti yang mantap untuk membeli sesuatu harta tak alih dan surat perjanjian jual beli berkenaan hendaklah bertarikh pada atau selepas 1 Februari 1995; atau 
  • telah mengambil pinjaman atas gadaian harta tak alih (rumah/tanah) itu.

2. Berapa kalikah wang caruman anda boleh dikeluarkan untuk tujuan ini?

 Pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian pencarum sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum.

3. Adakah anda boleh mengeluarkan caruman untuk mengubahsuai rumah?

Pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan.

4. Berapakah amaun yang boleh dikeluarkan?

Amaun yang boleh dikeluarkan di bawah peraturan ini hendaklah :-

  • Tidak melebihi empat puluh peratus (40%) daripada amaun yang ada pada kredit akaun pencarum itu; atau 
  • Tidak melebihi 10% dari harta tak alih; atau 
  • Tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00). 

 Pembayaran adalah mengikut mana yang terendah.

5. Bagaimanakah permohonan pengeluaran boleh dibuat?

Permohonan boleh dibuat melalui borang permohonan pengeluaran (LTAT/PWCA 47) yang boleh diperolehi secara percuma di pejabat LTAT atau melalui muat turun dari laman sesawang LTAT.

6. Berapa lamakah proses pembayaran bagi skim ini?

Pembayaran akan dijelaskan di dalam tempoh 24 jam hari bekerja.

PENGELUARAN CARUMAN BERHENTI

1. Bilakah caruman boleh dikeluarkan?

Caruman bagi pencarum wajib termasuk caruman anggota yang ditauliahkan boleh dikeluarkan:

  • apabila pencarum meninggal dunia; atau 
  • 1 bulan setelah pencarum diberhentikan dari perkhidmatan; atau 
  • pencarum mencapai usia 50 tahun. 

Bagi pencarum sukarela, pengeluaran simpanan boleh dibuat pada bila-bila masa dan mereka diberi kelonggaran untuk menjadi ahli bagi kali kedua walaupun telah membuat pengeluaran kali pertama.

2. Bagaimana caruman dibayar balik?

Apabila seorang pencarum layak mengeluarkan caruman atau simpanannya, bayaran balik itu dibuat dengan bayaran sekaligus.

3. Adakah LTAT mengambil masa yang lama untuk membuat pembayaran?

Pembayaran dibuat dalam masa 24 jam hari bekerja setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dari Kementerian Pertahanan.

4. Berapakah jumlah yang akan dibayar balik oleh LTAT?

Jumlah wang yang akan dibayar balik bergantung kepada keadaan berikut:

  • Mereka yang berpencen akan menerima bahagian Caruman Ahli termasuk keuntungan terkumpul ke atas caruman mereka sahaja. Caruman Kerajaan berserta keuntungan terkumpul akan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Ahli akan dibayar pencen bulanan oleh Kerajaan. 
  • Mereka yang tidak berpencen akan menerima bahagian Caruman Ahli dan Caruman Kerajaan termasuk keuntungan terkumpul bagi kedua-duanya. 
  • Hutang piutang kepada Kerajaan, jika ada, akan dipotong oleh LTAT sebelum pembayaran balik dibuat berdasarkan Sijil Penyelesaian Hutang Kerajaan yang diterima dari Jabatan Arah Urusan Gaji Angkatan Tentera. 
  • Jika pencarum diberhentikan perkhidmatan kerana hilang keupayaan akal atau jasmani yang berkekalan, mereka akan menerima bahagian Caruman Ahli termasuk keuntungan terkumpul ditambah dengan Faedah Hilang Upaya. Caruman Kerajaan akan dikembalikan kepada KWAP. 
  • Jika pencarum meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan, waris mereka akan menerima jumlah seperti pencarum yang berpencen ditambah dengan Khairat Kematian.

SKIM KHAIRAT KEMATIAN

1. Berapakah jumlah bayaran Skim Khairat Kematian?

Jumlah pemberian di bawah Skim Khairat Kematian dan Faedah Hilang Upaya adalah berasaskan satu rumusan (formula) yang mengambilkira:

  • Lama tempoh perkhidmatan pencarum (diambil kira daripada tarikh keahlian pencarum di LTAT sehingga tarikh pencarum meninggal dunia atau tarikh pemberhentian perkhidmatan atas sebab hilang upaya.) 
  • Jumlah caruman terkumpul beliau. Daripada butiran ini barulah jumlahnya dapat dihitungkan.

2. Bagaimanakah cara memohon mengeluarkan caruman?

Jika syarat pengeluaran dipenuhi, permohonan untuk mengeluarkan caruman dibuat dengan melengkapkan borang LTAT/PWCA/14-2/1 yang boleh diperolehi secara percuma semasa menjalani Dokumentasi Akhir di KEMENTAH atau melalui kemudahan muat turun borang dalam Laman Sesawang LTAT. Pastikan maklumat yang diisi adalah lengkap dan tepat.

3. Jika pencarum meninggal dunia bagaimanakah wang carumannya dikeluarkan?

Penama atau waris pencarum boleh memohon untuk mengeluarkan caruman dengan menggunakan dokumen berikut:

  • Borang LTAT / PWCA / 14-2/2 (Pengakuan Oleh Waris) 
  • Menyertakan salinan kad pengenalan pewaris/penama dan lain-lain yang berkaitan.

4. Bagaimanakah pewaris atau penama mengetahui tentang caruman atau simpanan yang berada di LTAT?

Pihak Penama atau Waris akan dihubungi. Oleh yang demikian amatlah penting maklumat waris atau penama yang kemaskini dimaklumkan kepada Jabatan Rekod dan Pencen Kementerian Pertahanan dan pencarum-pencarum diminta mengemaskini maklumat waris mereka di LTAT.

SKIM FAEDAH HILANG UPAYA

1. Apakah syarat-syarat untuk mendapatkan bayaran Skim Faedah Hilang Upaya dan bagaimanakah cara memohon pengeluaran ini?

Faedah Hilang Upaya adalah berdasarkan pemberhentian yang ditakrifkan sebagai 49H dan yang setaraf dengannya iaitu ‘medical standard below that required for retention/medically unfit’ atau bersamaam dengan BR 9748 – Article 1014 Invaliding bagi Tentera Laut di mana Kenyataan Perkhidmatan anggota iaitu BAT D 132 hendaklah disokong dengan keputusan Lembaga Perubatan iaitu BAT F 524.

2. Berapakah jumlah bayaran Skim Faedah Hilang Upaya?

Jumlah pemberian di bawah Skim Faedah Hilang Upaya adalah berasaskan satu rumusan (formula) yang mengambilkira:

  • Lama tempoh perkhidmatan pencarum (diambil kira daripada tarikh keahlian pencarum di LTAT sehingga tarikh pemberhentian perkhidmatan atas sebab hilang upaya.) 
  • Jumlah caruman terkumpul beliau. Daripada butiran ini barulah jumlahnya dapat dihitungkan.

Carian

Loading

1Malaysia Negaraku


Hubungi Kami

hk

Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Tingkat 12, Bangunan LTAT,
Jalan Bukit Bintang, 55100 

KUALA LUMPUR
Emel: ltat[at]ltat.org.my


Tel: (60) 3-2148 9777
Faks: (60) 3-2142 7646