
IKRAR AMALAN 5S LTAT
Kami adalah komited untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat, selesa dan ceria bagi membudayakan amalan kerja berkualiti dan produktif secara berterusan.
Amalan 5S
Amalan 5S merupakan alat pengurusan persekitaran berkualiti yang dipelopori oleh Jepun dengan penumpuan kepada lima (5) langkah tindakan pelaksanaan yang bermula dengan huruf awalan āSā yang bermatlamatkan pengurusan amalan kebersihan yang bersistematik. Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang diringkaskan menjadi 5S. Dalam Bahasa Melayu memberi maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.
Amalan 5S merupakan teknik yang paling berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan secara berterusan atau dikenali sebagai Kaizen dalam Bahasa Jepun. Kaizen adalah cara pembaikan dilakukan secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan terutama dalam aktiviti yang berorientasikan manusia dan proses. Bagi menjayakannya, penyertaan dan komitmen yang tinggi diperlukan daripada semua peringkat anggota dalam organisasi.
Amalan 5S adalah asas peningkatan kualiti dan produktiviti yang berkesan kerana:
(a) Mewujudkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan produktif;
(b) Hasil kebersihan, kekemasan dan keselamatan yang nyata;
(c) Lebih banyak idea kreatif dan inovatif diketengahkan oleh pekerja untuk penyelesaian masalah dan penambahbaikan;
(d) Semua pekerja akan lebih berdisiplin dan beretika untuk menghasilkan prestasi kerja yang lebih baik;
(e) Operasi di tempat kerja lebih senang, pantas dan selamat;
(f) Membina budaya kerja dan nilai bersama yang cemerlang; dan
(g) Menjadi kebanggaan semua pekerja dan meningkatkan imej organisasi.
|