LTAT ialah sebuah Badan Berkanun Kerajaan yang telah ditubuhkan melalui Akta Parlimen, Akta 101, 1973 bagi mengadakan faedah-faedah persaraan dan faedah-faedah lain kepada pencarum-pencarum wajib LTAT, yang terdiri daripada Pegawai Tetap ATM dan Anggota Lain-Lain Pangkat berserta pencarum sukarela yang terdiri dari Pegawai ATM dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS).

Pencarum Wajib LTAT terdiri daripada Pegawai Tetap ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan dan 15% sumbangan kerajaan secara notional dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan + 15% sumbangan Kerajaan. Jumlah yang dikreditkan ke dalam akaun pencarum setiap bulan ialah bersamaan 25%.

Pencarum Sukarela LTAT adalah dari kalangan Pegawai Tetap ATM termasuk Anggota LLP yang ditauliahkan dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS) dengan kadar caruman minima RM25.00 dengan gandaan RM5.00 sehingga maksima RM2,000.00 sebulan. Tiada sumbangan Kerajaan dan keahlian adalah secara memohon terus kepada LTAT.

  1. Pencarum akan menerima dividen dan bonus tahunan yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun pencarum pada penghujung tahun dan pencarum juga akan menerima bonus khas dalam bentuk Dana Unit Amanah secara percuma. Pemberian bonus khas ini adalah bergantung kepada prestasi kewangan semasa LTAT.
  2. Dividen dan bonus ini dikompaunkan kepada jumlah caruman pencarum untuk menjadi jumlah caruman terkumpul.
  3. Caruman kepada LTAT tidak dikenakan cukai pendapatan (pada masa ini sehingga RM4,000 setahun).
  4. Faedah Khairat Kematian akan diberikan kepada waris bagi pencarum yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.
  5. Faedah HilangUpaya kepada pencarum yang diberhentikan dari perkhidmatan kerana kecacatan tubuh badan atau akal fikiran yang berkekalan.
  6. Pengeluaran caruman dilakukan secara sekaligus.
  7. Pengeluaran sebahagian caruman untuk menampung kos pembelian rumah atau tanah kediaman yang pertama.

Kadar dividen dan bonus, jika ada, akan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah LTAT dengan nasihat Panel Pelaburan dan pihak Aktuari yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Kadar dividen dan bonus tahunan yang ditetapkan adalah berdasarkan kepada keuntungan pelaburan LTAT bagi tahun berkenaan.

LTAT sentiasa berusaha mengenalpasti faedah baru yang boleh mendatangkan manfaat kepada pencarum atau keluarga atau warisnya.

Di antara faedah-faedah sampingan yang telah diwujudkan ialah:

  1. Anugerah Kecemerlangan Pendidikan LTAT-Yayasan LTAT (AKP LTAT-Yayasan LTAT) merupakan dermasisiwa kepada anak-anak ATM yang cemerlang di dalam peperiksaan PT3, SPM dan yang mendapat tempat di IPTA manakala untuk anak-anak veteran ATM bagi peperiksaan PT3.

  2. Menawarkan anggota-anggota ATM/Veteran ATM untuk membeli rumah-rumah kos rendah yang dibangunkan melalui anak-anak syarikat.

  3. Aplikasi MyWIRA atau MyWIRA App adalah inisiatif terbaru yang diperkenalkan untuk kemudahan pencarum LTAT, bagi memudahkan pencarum untuk mengakses maklumat caruman dengan lebih cepat dan mudah. Boleh dimuat turun oleh semua pencarum menggunakan Android mahupun iOS secara percuma.

Pegawai Tetap ATM yang ditauliahkan selepas 1 Januari 2016 diwajibkan mencarum dan Anggota ATM Lain-lain Pangkat akan menjadi pencarum secara automatik setelah potongan pertama caruman bulanan diterima oleh LTAT dari UGAT. Potongan caruman bulanan akan dibuat ke atas penggajian bulanan anggota dan akan dimajukan setiap bulan oleh UGAT kepada LTAT.

Pegawai-pegawai ATM dan AKAS boleh memohon untuk menjadi pencarum sukarela dengan melengkapkan borang permohonan yang boleh diperolehi secara percuma di kaunter LTAT, muat turun borang dari laman sesawang LTAT www.ltat.org.my atau dari mesin e-kiosk LTAT. Arahan potongan caruman akan dimajukan kepada UGAT untuk urusan membuat potongan caruman bulanan ke atas penggajian bulanan pegawai dan caruman bulanan ini akan dimajukan setiap bulan oleh UGAT kepada LTAT.

Bagi pencarum wajib keahliannya adalah automatik apabila caruman pertama diterima oleh LTAT diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap dan berkuatkuasa apabila potongan caruman dimajukan kepada LTAT oleh pihak UGAT.

 

Bagi pencarum sukarela permohonan mereka diluluskan dengan serta merta (tertakluk kepada had permohonan mencarum secara sukarela iaitu sebanyak 2 kali) setelah borang permohonan diterima oleh LTAT dan berkuatkuasa apabila wang caruman dimajukan kepada LTAT oleh pihak UGAT.

Berdasarkan kepada Seksyen 12 Akta 101 LTAT, caruman bagi pencarum wajib termasuk caruman anggota yang ditauliahkan boleh dikeluarkan apabila:

              i.        Pencarum meninggal dunia; atau

             ii.       Satu bulan selepas pencarum diberhentikan atau bersara daripada perkhidmatan; atau

            iii.       Apabila pencarum itu mencapai umur lima puluh tahun dan jika pencarum seorang pegawai apabila pegawai itu mencapai umur bersara wajib

Bagi pencarum sukarela, pengeluaran simpanan boleh dibuat pada bila-bila masa dan kelonggaran untuk menjadi ahli bagi kali kedua diberikan walaupun telah membuat pengeluaran kali pertama. 

Walau bagaimanapun di bawah Seksyen 15B, pencarum juga boleh mengeluarkan sebahagian dari wang caruman mereka di bawah Skim Pengeluaran Caruman Bagi Pembelian Harta Tak Alih.

Apabila seorang pencarum layak mengeluarkan caruman atau simpanannya, bayaran balik dibuat dengan pembayaran sekaligus setelah semua dokumen-dokumen pengeluaran caruman lengkap diterima oleh LTAT dari Jabatanarah Urusan Gaji ATM (UGAT).

Pembayaran dibuat dalam masa 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dari Jabatanarah Urusan Gaji ATM (UGAT).

Jumlah wang yang akan dibayar balik bergantung kepada keadaan berikut:

  1. Pencarum yang berpencen akan menerima bahagian caruman ahli termasuk keuntungan terkumpul ke atas caruman ahli sahaja. Caruman Kerajaan berserta keuntungan terkumpul akan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Ahli akan dibayar pencen bulanan oleh Kerajaan (Pegawai Tetap & LLP).
  2. Pencarum yang tidak berpencen akan menerima bahagian caruman mereka dan Caruman Kerajaan termasuk keuntungan terkumpul bagi kedua-duanya (LLP).
  3. Pencarum yang tidak berpencen (Pegawai ATM berkhidmat kurang 20 tahun) dan tidak memilih Ganjaran Tamat Perkhidmatan akan menerima bahagian caruman mereka dan Caruman Kerajaan termasuk keuntungan terkumpul bagi kedua-duanya.
  4. Pencarum yang tidak berpencen (Pegawai ATM berkhidmat kurang 20 tahun) dan memilih Ganjaran Tamat Perkhidmatan akan menerima bahagian caruman ahli termasuk keuntungan ke atas caruman ahli sahaja. Manakala Caruman Kerajaan berserta keuntungan terkumpul tidak diperolehi.
  5. Jika pencarum diberhentikan perkhidmatan kerana hilang keupayaan akal atau jasmani yang berkekalan, pencarum akan menerima bahagian carumannya termasuk keuntungan terkumpul ditambah dengan Faedah Hilang Upaya. Caruman Kerajaan berserta keuntungan akan dikembalikan kepada KWAP.
  6. Jika pencarum meninggal dunia dalam perkhidmatan, waris akan menerima caruman dan dividen ahli serta ditambah dengan bayaran Faedah Khairat Kematian. Caruman Kerajaan berserta keuntungan akan dikembalikan kepada KWAP.
  7. Pembayaran balik caruman kepada pencarum/waris akan ditolak dahulu hutang kerajaan (jika ada) sebelum pembayaran balik dibuat.

Jumlah pemberian di bawah Skim Faedah Khairat Kematian Dan Hilang Upaya adalah berasaskan satu rumusan (formula) yang mengambilkira:  

  1. Faktor yang berdasarkan kepada tempoh pencarum mencarum di LTAT sehingga tarikh pencarum meninggal dunia atau tarikh pemberhentian perkhidmatan atas sebab hilang upaya, dan
  2. Jumlah caruman terkumpul anggota (Bahagian Ahli)

Jumlah pembayaran di bawah skim ini adalah (1) x (2)

Faedah Hilang Upaya adalah berdasarkan pemberhentian yang ditakrifkan sebagai Peraturan 61/(1)(g) dan yang setaraf dengannya iaitu ‘Medical standard is below that required for retention/medically unfit’ atau bersamaan dengan BR 9748 – Article 1014 Invaliding bagi Tentera Laut yang tercatat pada Kenyataan Perkhidmatan anggota iaitu BATD132 dan hendaklah disokong dengan keputusan Lembaga Perubatan iaitu BATF 524/525.

Jika syarat pengeluaran dipenuhi, permohonan untuk mengeluarkan caruman dibuat dengan melengkapkan borang LTAT/PWCA/14-2/1 (Borang Pengakuan Ahli) yang boleh diperolehi secara percuma semasa menjalani Dokumentasi Akhir di KEMENTAH. Pastikan maklumat yang diisi adalah lengkap dan tepat.

Penama atau waris pencarum boleh memohon untuk mengeluarkan caruman dengan mengemukakan dokumen berikut:

  1. Borang LTAT/PWCA/14-2/2 (Borang Pengakuan Waris) yang boleh diperolehi melalui kaunter LTAT atau memuat turun dari laman sesawang LTAT di www.ltat.org.my.
  2. Menyertakan salinan kad pengenalan pewaris/penama dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

Pihak penama atau waris akan dihubungi oleh pihak Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP). Oleh yang demikian amatlah penting maklumat waris atau penama yang dikemaskini dimaklumkan kepada JRP, Kementerian Pertahanan.

Apabila pencarum meninggal dunia, pihak JRP akan memajukan senarai waris-waris yang sah dan berhak kepada LTAT bagi tujuan pembayaran balik wang caruman LTAT. Kebiasaannya waris yang berhak yang dinamakan bagi anggota yang masih bujang adalah ibubapa atau adik-beradik (sekiranya ibubapa telah meninggal dunia). Manakala bagi anggota yang telah berkahwin, waris yang berhak adalah balu/duda dan ibubapa. Terdapat juga kes di mana waris yang dinamakan oleh JRP adalah penjaga yang membesarkan pencarum dan sebagainya tertakluk kepada hasil siasatan/semakan yang dibuat oleh KEMENTAH.

 

Pecahan peratus kelayakan waris adalah berdasarkan kepada suatu jadual yang telah ditetapkan oleh Lembaga berdasarkan kepada ikatan pertalian waris dan gemulah di mana bilangan tanggungan anak oleh balu juga diambilkira.

 

Anak di dalam kandungan hanya akan diambilkira dalam pecahan peratus sekiranya maklumat tambahan (Sijil Kelahiran) diserahkan sebelum proses pembayaran dilaksanakan.

Pembayaran balik wang caruman LTAT adalah melalui kaedah Sistem Pengkreditan Terus Ke Dalam Akaun Bank Ahli.

Senarai Panel Bank yang dilantik oleh LTAT berserta kod Bank untuk kemudahan Sistem Pengkreditan Terus Ke Dalam Akaun Bank adalah seperti berikut:

Kod Bank

Nama Bank

Kod Bank

Nama Bank

01

AFFIN BANK Berhad

08

Public Bank

02

CIMB Bank

09

RHB Bank

03

Maybank

10

Bank Rakyat

04

Bank Islam Malaysia Bhd

11

Bank Simpanan Nasional

05

Alliance Bank

12

Bank Muamalat

06

AmBank

13

HSBC

07

Hong Leong Bank

14

Standard Chartered

    

Pencarum atau waris/penama perlu mengemukakan Kad Pengenalan Awam kepada mana-mana cawangan Affin Bank Berhad di mana pengeluaran wang akan dibuat.

Pada tarikh permohonan, pencarum:

  1. telah mencapai umur dua puluh dua (22) tahun; dan
  2. telah mencarum tidak kurang daripada lima (5) tahun kepada LTAT; dan
  3. bukan seorang pemilik berdaftar apa-apa harta tak alih (rumah/tanah) iaitu pengeluaran caruman ini adalah untuk tujuan membeli harta tak alih yang pertama sahaja; dan
  4. telah membuat suatu perjanjian jual beli yang sah yang pada pendapat LTAT adalah suatu bukti yang mantap untuk membeli sesuatu harta tak alih dan Surat Perjanjian Jual Beli berkenaan hendaklah bertarikh pada atau selepas 1 Februari 1995; atau
  5. telah mengambil pinjaman atas gadaian harta tak alih (rumah/tanah) itu.
  6. pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian pencarum sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum.
  7. pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan.

Pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian pencarum sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum.

Skim pengeluaran perumahan hanyalah bagi:

a)   Pembelian harta tak alih termasuk perbelanjaan sampingan seperti bayaran guaman dan duti setem; dan

b)   Pengubahsuaian yang perlu bagi mengadakan keselamatan pada harta tak alih itu.

 

(Pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan).

Amaun yang boleh dikeluarkan di bawah peraturan ini hendaklah:

i)     Tidak melebihi 40% daripada amaun yang ada pada kredit akaun pencarum itu;atau

ii)     Tidak melebihi 10% dari harta tak alih;atau

iii)    Tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00).

(Pembayaran adalah mengikut mana yang terendah).

Permohonan boleh dibuat melalui borang permohonan pengeluaran (LTAT/PWCA 47) yang boleh diperolehi secara percuma di kaunter LTAT atau muat turun borang dari laman sesawang LTAT www.ltat.org.my

Pembayaran akan dijelaskan dalam tempoh 24 jam dari tarikh dokumen pembayaran disemak dan didapati teratur serta memenuhi syarat pengeluaran.

Tidak boleh kerana skim pengeluaran yang dibenarkan di LTAT adalah mengambilkira objektif utama penubuhan LTAT untuk menyediakan wang persaraan kepada Pegawai Tetap dan anggota LLP serta menyediakan satu skim simpanan bagi pegawai dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS). Walau bagaimanapun Lembaga Pengarah dan Pengurusan LTAT sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa kemudahan dan faedah-faedah yang boleh disalurkan kepada pencarum LTAT. 

LTAT tertakluk kepada Akta 101 yang hanya mewajibkan anggota LLP dalam perkhidmatan tetap untuk mencarum di LTAT. Walau bagaimanapun, berkuatkuasa 1 Januari 2016, Skim Caruman Wajib LTAT dipanjangkan kepada Pegawai Tauliah Jangka Pendek dan Pegawai Tauliah Tetap dalam Angkatan Tetap ATM dengan kadar potongan caruman ahli sebanyak 10% dari gaji bulanan akan dikreditkan ke dalam akaun pencarum setiap bulan dan kadar caruman kerajaan sebanyak 15% dari gaji bulanan secara notional.

Bonus Khas merupakan pemberian bonus tambahan dalam bentuk Dana Unit Amanah yang diberikan secara percuma kepada pencarum-pencarum yang layak. Kadar bayaran adalah bergantung kepada prestasi dan keuntungan LTAT bagi tahun-tahun semasa.

Bonus khas dalam bentuk Dana Unit Amanah ini adalah juga tertakluk kepada Seksyen 12 Akta LTAT d mana ianya tidak boleh dijual sehingga anggota telah membuat pengeluaran caruman mengikut syarat yang telah ditetapkan.

 

Salah satu daripada tujuan memberikan bonus khas dalam bentuk Dana Unit Amanah adalah bagi menggalakkan pencarum LTAT terus menyimpan bagi tempoh jangkamasa yang panjang bagi membolehkan mereka menikmati pulangan dalam bentuk dividen dan peningkatan modal pelaburan.

 

Oleh yang demikian pencarum LTAT boleh terus menyimpan Dana Unit Amanah walaupun telah tamat perkhidmatan.

Anggota boleh menghubungi LTAT untuk mendapatkan semula salinan surat berkenaan.

Ya. Pelaburan yang dibuat adalah halal dan tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

LTAT ada menjelaskan zakat perniagaan. Walau bagaimanapun, caruman pencarum LTAT tidak dibayar zakat. Memandangkan pencarum LTAT adalah terdiri dari penganut pelbagai agama, pencarum beragama Islam bolehlah menyelesaikan segala urusan pembayaran zakat masing-masing secara persendirian.

Pencarum yang menamatkan perkhidmatan di bawah tindakan tatatertib kebiasaannya berstatus tidak berpencen dan dengan itu layak untuk menerima caruman ahli dan caruman kerajaan kecuali sekiranya terdapat arahan untuk menahan/membatal pembayaran caruman kerajaan.

Pencarum perlu menghubungi JRP dan UGAT bagi memastikan borang-borang yang diperlukan untuk anggota membuat pengeluaran caruman adalah lengkap dan dimajukan kepada LTAT.

Tidak. Seksyen 13 Akta LTAT jelas menyatakan bahawa wang pencarum LTAT tidak boleh diserah hak atau dipindah milik atau ditahan, diasingkan ataupun dilevi kecuali bagi bayaran hutang kerajaan.

Tidak. Seksyen 13 Akta LTAT jelas menyatakan bahawa wang pencarum LTAT tidak boleh diserah hak atau dipindah milik atau ditahan, diasingkan ataupun dilevi kecuali bagi bayaran hutang kerajaan.

Caruman LTAT boleh dikeluarkan apabila anggota memenuhi syarat-syarat pengeluaran tanpa mengambilkira sama ada status pencarum disenarai hitam atau tidak.

Pencarum yang THTC perlu memastikan pemberhentian mereka adalah mengikut saluran yang sah memandangkan pengeluaran wang caruman hanya boleh dibuat setelah dokumen-dokumen pemberhentian seperti berikut dimajukan oleh UGAT kepada LTAT:

i) Dokumen pengesahan perkhidmatan (Bat D 132);

ii) Sijil Penyelesaian Hutang oleh UGAT; dan

iii) Anggota juga perlu melengkapkan Borang Pengakuan Ahli, Sesalinan Kad Pengenalan dan Pengesahan Akaun Bank.

Anggota THTC perlu melapor diri di pasukan terakhir mereka dan perlu melalui proses pemberhentian yang ditetapkan oleh ATM.

Pembangunan projek perumahan oleh LTAT adalah berdasarkan kepada beberapa faktor;

i) Sambutan oleh anggota tentera.

ii) Memastikan hanya kawasan yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi yang dibangunkan bagi membolehkan anggota mendapat pulangan yang baik ke atas pelaburan hartanah yang dibuat.

iii) Tertakluk kepada kesesuaian tapak projek jika ada untuk dibangunkan.

iv) Harga perolehan tapak projek adalah berpatutan bagi memastikan harga rumah-rumah yang dibangunkan kelak di dalam lingkungan harga yang mampu dibeli oleh anggota-anggota tentera dan merupakan rumah-rumah yang berkualiti.

Selain daripada projek perumahan yang dibangunkan oleh LTAT dan kumpulan syarikat LTAT, pencarum juga dinasihatkan supaya berhubung dengan pihak SUK negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai projek perumahan yang dibangunkan oleh SUK negeri tersebut.

Tidak boleh. Pengeluaran wang caruman LTAT akan dibuat secara sekali gus sebulan selepas tamat perkhidmatan atau bersara. Tertakluk kepada penerimaan lengkap dari UGAT.

Wang caruman LTAT tidak boleh terus disimpan selepas bersara.

 

Selaras dengan Peraturan-Peraturan Tabung Angkatan Tentera yang berkuatkuasa 2 Mac 2009, akaun-akaun caruman yang diklasifikasikan dorman akan diasingkan dan tidak lagi layak menerima dividen, bonus dan faedah-faedah lain daripada LTAT.

 

Pembayaran balik caruman ini akan dibuat kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965 sekiranya masih tiada tuntutan dibuat dalam tempoh 2 tahun berikutnya.

 

Bagi pencarum-pencarum wajib, akaun caruman akan diklasifikasikan dorman sekiranya tiada tuntutan dibuat melalui Borang Pengeluaran Caruman dan dokumen pengeluaran yang disyaratkan telah lengkap diterima daripada UGAT.

 

Bagi pencarum-pencarum sukarela yang tidak aktif, akaun caruman akan diklasifikasikan sebagai akaun dorman sekiranya tiada caruman bulanan diterima oleh LTAT bagi tempoh satu tahun.

 

Pencarum Sukarela hendaklah memastikan bahawa penyata gaji bulanan ada dibuat pemotongan caruman dan dimajukan kepada LTAT secara bulanan.

Kadar baru caruman bulanan yang berkuatkuasa mulai Januari 2016 bagi caruman sukarela yang diluluskan pada masa kini adalah pada kadar minima RM25.00 sehingga RM2,000.00 sebulan (dengan gandaan RM5.00) dan caruman hanya diterima melalui potongan gaji secara bulanan.

a) Kadar dan tempoh caruman LTAT adalah tertakluk kepada Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera di mana caruman wajib akan terhenti secara automatik apabila pencarum telah mencapai tempoh perkhidmatan 21 tahun. Walau bagaimanapun berkuatkuasa mulai 01 November 2017 Majlis Angkatan Tentera (MAT) telah meluluskan pelanjutan perkhidmatan askar lasykar Angkatan Tetap 21 tahun terus ke 26 tahun perkhidmatan.

b) Sebarang cadangan ke atas pindaan kadar dan tempoh caruman yang melibatkan Skim Perkhidmatan Anggota bolehlah dimajukan kepada Kementerian Pengawal iaitu KEMENTAH.

Skim Simpanan Caruman Sukarela LTAT hanya dibuka kepada pegawai dan AKAS selain daripada anggota-anggota yang diwajibkan mencarum di LTAT dan Seksyen 9 (1) Akta LTAT pula mencatatkan bahawa wang caruman yang hendak dipotong daripada gaji bulanan seseorang askar-laskar adalah suatu amaun yang sama banyaknya dengan 10% dari jumlah gajinya yang dikira hingga 5 sen yang hampir sekali sebagai carumannya kepada Tabung.

Tidak boleh. LTAT dikehendaki membuat pembayaran balik caruman kerajaan tersebut kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Adalah dimohon anggota untuk merujuk perkara berkaitan dengan Skim Perkhidmatan Anggota kepada pihak JRP.

Pembayaran bonus khas adalah bergantung kepada prestasi LTAT dan pada masa kini jumlah pulangan ke atas caruman yang diberikan LTAT adalah di antara yang tertinggi.

Pengeluaran caruman bagi pencarum wajib LTAT adalah tertakluk sepenuhnya di bawah Seksyen 12 Akta 101 yang hanya membenarkan caruman dikeluarkan mengikut syarat-syarat berikut:

i) apabila pencarum meninggal dunia;

ii) sebulan selepas TTP

iii) apabila pencarum mencapai umur 50 tahun.

i) Tidak semua kedai PERNAMA dibenarkan untuk menjual arak.

ii) Penjualan arak adalah kepada anggota/pegawai ATM bukan Islam sahaja.

iii) Hasil keuntungan arak tidak digunakan untuk pembayaran dividen dan bonus oleh LTAT kepada pencarum. Pihak PERNAMA menggunakannya untuk tujuan tanggungjawab sosial dan perbelanjaan penyelenggaraan.

iv) Ini adalah selaras dengan arahan kerajaan agar anggota tentera bukan Islam tidak diketepikan dari segi kemudahan/keistimewaan yang diberikan oleh PERNAMA.

Pelaburan yang dibuat oleh LTAT adalah dipantau sepenuhnya oleh Panel Pelaburan LTAT dan juga Lembaga Pengarah LTAT yang juga merangkumi Panglima Angkatan Tentera, Timbalan Panglima dari setiap cabang iaitu darat, laut dan udara yang mewakili tentera. LTAT dengan nasihat Panel Pelaburan dan Ahli Lembaga Pengarah sentiasa berusaha memastikan pelaburan yang dibuat adalah halal dan tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

Pencarum sukarela boleh meneruskan untuk mencarum sukarela dengan mengemukakan surat pengesahan kepada LTAT memaklumkan bahawa mereka telah ditumpangkan ke agensi luar dan mencatatkan tarikh tamat perkhidmatan di agensi yang ditumpangkan. Pencarum perlu memohon kepada majikan yang baru supaya dapat membuat potongan caruman atas nama LTAT dan dihantar setiap bulan.

 

Sekiranya majikan tidak dapat membuat potongan caruman, pencarum boleh mencarum dengan menggunakan cek peribadi dengan syarat pencarum perlu mengemukakan surat pengesahan majikan kepada LTAT, menyatakan tidak dapat dibuat potongan dan pengesahan tempoh kontrak perkhidmatan pencarum di agensi tersebut. Seterusnya pencarum boleh menghantar cek bersama surat iringan kepada LTAT.

PERNAMA juga ada menawarkan rangkaian barangan di mana harga-harganya jauh lebih rendah dari pasaraya lain (contoh: Tesco dan Giant). Contohnya, beras 10kg pecah 5%, dijual kepada warga ATM pada harga RM21.00 sahaja. Sila bandingkan juga harga PERNAMA untuk Mee Maggi, kicap Habhal, milo, sos tomato, sos cili, rokok serta mana-mana harga barangan harga prihatin di mana-mana kedai PERNAMA. PERNAMA juga memberi subsidi rebet tunai bagi membantu warga tentera dalam menangani kesan kenaikan harga barangan. PERNAMA telah memberi subsidi untuk barangan ruji yang dijual di bawah harga pasaran seperti beras, tepung, gula, kicap, sos, minyak masak, biskut, teh, milo dan lain-lain.

Semua harga di kedai-kedai PERNAMA sepatutnya sama di seluruh Malaysia. Sekiranya terdapat perbezaan, mohon kerjasama supaya maklumat ini dapat disalurkan kepada pihak PERNAMA untuk tindakan.

 

Walau bagaimanapun, ini tidak terpakai bagi Kedai Z-mart (juga diseliakan oleh PERNAMA tetapi BUKAN kedai PERNAMA) yang digunakan sebagai Kedai Latihan dibandingkan dengan harga mana-mana kedai PERNAMA kerana ianya tidak setara disebabkan kedai Z-mart diuruskan oleh pelatih PERHEBAT.

Maklumbalas yang diperolehi daripada PERNAMA adalah proses pemulangan wang lebihan kutipan skim KASUMA mengambil masa 3 bulan kerana ianya memerlukan pengesahan dan tamat proses kutipan oleh UGAT. Jika pelanggan tidak menerima pemulangan wang dalam jangkamasa tersebut, sila berhubung dengan mana-mana kedai PERNAMA terdekat atau hubungi Ibu pejabat PERNAMA di talian 03-33410572.

Sebarang cadangan untuk membuka cawangan di seluruh Malaysia perlu mengambilkira kos operasi dan skop perkhidmatan yang disediakan LTAT pada masa ini, di mana pencarum yang menamatkan perkhidmatan hanya perlu menghadirkan diri di Kementah untuk proses dokumentasi akhir. LTAT juga telah menempatkan seorang Pegawai Liaison di Seksyen Pemberhentian di UGAT bagi membantu pencarum yang memerlukan bantuan semasa dokumentasi akhir tersebut.

Permohonan pengeluaran pula boleh dimajukan melalui pos bagi pencarum yang berada di luar Lembah Klang. Selain itu, LTAT juga menyediakan sistem semakan atas talian i-Wira bagi kemudahan seperti berikut:

  • Menyemak penyata Caruman LTAT tahun semasa dan tahun sebelumnya
  • Menyemak maklumat penamaan waris
  • Menyemak Dana Unit Amanah Affin Hwang
  • Menyemak sejarah pengeluaran caruman
  • Membuat aduan, pertanyaan dan cadangan

dan e-kiosk di kem-kem utama di seluruh Malaysia bagi kemudahan pencarum mendapatkan penyata caruman, maklumat dan borang-borang urusan LTAT serta maklumat berhubung perkhidmatan yang disediakan oleh perbadanan-perbadanan LTAT selain dari kemudahan memuat turun borang-borang urusan LTAT melalui laman sesawang LTAT di alamat www.ltat.org.my. Pengurusan LTAT sentiasa berusaha bagi memastikan kos operasi adalah di tahap minima bagi memberikan pulangan dividen dan bonus yang optima kepada pencarum.

Borang dan dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:

i) Borang Pengeluaran Caruman (Pengakuan Oleh Ahli) – LTAT/PWCA 14-2/1 yang diisi oleh ahli.

ii) Surat Kenyataan Perkhidmatan dari Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP) yang mengesahkan mencapai umur 50 tahun.

iii) Sesalinan My Tentera.

iv) Pengesahan Akaun Bank yang aktif (Dapatkan di bank berdekatan)

Proses pembayaran caruman akan dilaksanakan dalam masa 24 jam setelah LTAT menerima dokumen lengkap daripada ahli.

Dana Unit Amanah boleh dibuat tuntutan oleh waris yang sah iaitu :

i) Menghubungi Affin Hwang Asset Management Berhad di Talian Bebas Tol 1300-80-1188 dan memaklumkan berkaitan kematian bekas anggota.

ii) Dapatkan penyata terkini Unit Amanah Saham daripada Affin Hwang Asset Management Berhad dan seterusnya ke Pejabat Tanah/Amanah Raya Berhad Negeri bagi mendapatkan Surat Kuasa Pentadbir.

iii) Menghubungi semula Affin Hwang Asset Management Berhad untuk tindakan selanjutnya.